Wednesday, December 29, 2010

"Saudari, Masih Sempat Untuk Menutup Aurat"

"Saudari, Masih Sempat Untuk Menutup Aurat"
Saya tahu mesej dakwah tentang penjagaan aurat sudah terlalu banyak di mana-mana, dalam pelbagai bentuk dan dalam pelbagai ragam. Semuanya baik-baik belaka. Saya yakin ramai di antara kita tahu hukum menutup aurat itu wajib secara syari'e.
Tetapi, sedihnya masih ramai juga lagi yang tidak menutup aurat. Lihatlah di jalanan. Sebab itu saya sengaja ingin menyelit untuk menambah, sekadar perkongsian tambahan daripada diri yang tidak seberapa ini.
Perintah Menutup Aurat
Berkenaan aurat wanita, bukankah telah jelas disebut di dalam Al-Quran:
"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab atas mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu" (Al-Ahzab:59)
Ustaz Zaharuddin (www.zaharuddin.net) telah menjelaskan di dalam lamannya, bahawa jilbab ialah pakaian longgar semacam baju kurung. Allah memerintahkan agar ianya dilabuhkan kecuali apa yang terzahir:
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
"..Dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya..." (An-Nur:31)
Sekali lagi saya mengambil dan meringkaskan ulasan Ustaz Zaharuddin melalui lamannya. Apa yang disebutkan sebagai "zahir" dalam ayat ini diperselisihkan 'ulama. Ada yang berpendapat yang zahir adalah muka dan tapak tangan sedangkan ada yang lebih tegas daripada itu (muka dan tangan pun aurat). Apa yang pasti, khumur (خمر) dalam ayat di atas ini bermaksud tudung dan juyub (جيوب) adalah jamak (plural) bagi perkataan jaibun (جيب), iaitu bermaksud belahan dada yang terbuka.
Ertinya, ayat nombor 31 daripada surah An-Nur ini menjelaskan akan wajibnya tudung yang dipakai untuk menutup kepala dan rambut itu dilabuhkan sampai menutupi dada. Ada banyak lagi dalil Al-Quran dan As-Sunnah berkaitan perintah menutup aurat serta adab berpakaian bagi wanita, tetapi saya tidak bangkitkannya di sini untuk memendekkan bicara. Anda boleh mencarinya sendiri.
Layakkah Kita Melawan PerintahNya?
Baik, perintah menutup aurat dengan sempurna itu terlalu jelas. Lantas apa sebabnya seseorang tidak mahu mematuhi perintah ini? Bukankah Allah ta'ala telah berfirman:
"Sesungguhnya Al-Quran itu memberi petunjuk ke jalan yang lurus." (Al-Israk:9)
Bukankah berat padahnya jika kita meninggalkan perintah Allah ta'ala?
"Sesiapa yang mengikuti petunjukKu, maka dia tidak sesat dan celaka. Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta." (Taha: 123-124)
Saya faham, bukan mudah menutup aurat. Menurut Sahabat saya dia boleh terasa panas benar bahangnya di siang hari walaupun tidak perlu memakai tudung dan berbaju labuh. Bagaimana agaknya perasaan muslimah yang bertudung? Apatah bagi mereka yang bertudung litup, masyaAllah. Sebab itu saya sangat kagum terhadap wanita muslimah yang bersungguh-sungguh untuk menutup aurat dengan sempurna. Serius saya katakan, ini bukan mudah, tetapi apa yang diwajibkan Allah mesti ditunaikan jua. Inilah contoh para mujahidah sejati.
Doa saya agar Allah mengganjarkan semua muslimah yang bermujahadah demi agamanya, kebahagiaan dan kebaikan serta rahmat yang melimpah-ruah, di dunia dan akhirat. Amin.
Tetapi, sayangnya masih ada juga wanita muslimah yang tidak bertudung dan mendedahkan aurat. Ada juga yang bertudung, itu sudah bagus, tetapi sayang masih nampak bentuk susuk tubuhnya, terdedah dadanya, nampak lengannya, terlihat sanggulnya, nampak lehernya, terlihat kakinya yang tidak berstokin atau lain-lain. Aurat mereka sebenarnya masih belum ditutup dengan sempurna.
Saya harap ini berlaku sebab mereka tidak tahu hukumnya, bukannya sengaja.
Ramai yang mengaku bahawa mereka tersilap dan cuba hendak berubah, silakan, semoga Allah merahmati. Tapi, ada juga yang memberi alasan, cuba berdolak-dalih mengetengahkan isu lain; mereka seakan tidak sedar bahawa agama ini tidak boleh dibina atas akal, falsafah ataupun humanisme. Agama ini dibina atas dalil dan bukti, di mana semuanya jelas menunjukkan wajibnya menutup aurat.
Membuka aurat, atau tidak menutupnya dengan sempurna sepertimana yang diperintahkan syarak, adalah haram hukumnya. Muktamad.
Sayang sekali, kalau kita sudah menjaga kefardhuan solat dan kewajiban-kewajiban lain dengan baik, tetapi kita mengingkari perintahNya dalam hal yang lain pula. Kenapa mengamalkan Islam sekerat-sekerat? Memilih perintah Allah mengikut kesedapan hati. Ikut apa yang disukai diri dan menolak yang tidak disukai. Mana boleh begini. Apakah kita lupa apa yang kita tolak itu adalah perintah langsung daripada Allah azza wajal? Wa'iyadzubillah.
Kenapa kita berani memilih-milih dalam beramal, sedangkan kita diperintahkan untuk mematuhi perintah Allah secara serba-serbi?
"Wahai orang-orang beriman, masuklah Islam dengan keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan adalah musuh nyata bagi kamu" (Al-Baqarah:208)
Adakah kita lupa kita ini hanyalah hambaNya? Adakah kita lupa kita dihidupkan untuk menyembah dan mematuhi perintahNya?
Jika berbuat silap sesama manusia atau melanggar undang-undang duniawi, apabila sudah dibalas dengan adil, dihukum atau diselesaikan segalanya di dunia, di akhirat nanti ianya sudah terlangsai, tutup kes EnshaAllah. Tapi jika mengingkari Allah, ini hal besar. Di akhirat nanti baru perbicaraannya akan bermula.
Itulah hari didedahkan segala amalan, sama ada yang baik mahupun yang aib (Yaum al-Taghaabun, يوم التغابن). Ketika itu terpinga-pingalah dan tersangat takutlah para pendosa, mulut mereka dikunci sementara tangan dan anggota-anggota badan boleh bersuara menjadi saksi atas segala kemungkaran dan aurat yang pernah didedahkan semasa hidup di dunia. Allah Maha Berkuasa atas semua ini.
"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka telah usahakan." (Yasin:65)
Peringatan tentang peristiwa-peristiwa ghaib selepas kematian, baik melalui Quran mahupun Sunnah memang banyak, tetapi kemungkaran masih tetap berlaku. Agaknya bila sudah nampak alam akhirat dengan mata sendiri barulah hendak menqadah, menyesal, menangis, menyembam muka, pujuk-rayu mohon diberi peluang kedua atau tidak kisahlah apa pun, malangnya semuanya tidak berguna lagi. Good bye.
Astaghfirullah. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Pintu Taubat Masih Terbuka Seluas-Luasnya
Maaf sekiranya apa yang ditulis ada terkasar atau menyinggung hati. Niat saya hanya ingin menyampaikan yang haq, mengingatkan tentang apa yang pasti terjadi, untuk muhasabah diri saya dan seterusnya kepada anda semua. Mesej ini tidak tertuju kepada sesiapa langsung. Ini nasihat umum.
Sesungguhnya manusia memang makhluk yang banyak silapnya, cepat terlalai, cepat terlupa, banyak alasannya dan banyak helahnya. Tapi Allah sentiasa beri peluang kepada kita agar bertaubat jika berbuat silap selagi mana hayat masih ada. Ini bonus istimewa, sepatutnya kita banyakkan bersyukur. Betapa Pengasihnya Allah. Betapa sayangnya Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa sayangnya Allah kepada kita
Justeru sungguh kurang cerdiknya orang-orang yang tidak mahu menyahut peluang bertaubat yang sentiasa terbuka luas ini, sedangkan ajalnya semakin hari semakin dekat. Tidakkah kita risau, sewaktu nyawa dicabut, kita sedang berada dalam keadaan mengingkari perintahNya?
Lupakah kita maut itu boleh datang pada bila-bila masa?
Semoga Allah membantu kita semua agar dapat bertaubat, menyesal lantas terus gigih bermujahadah dan beristiqamah dalam mentaati Allah dan RasulNya. Amin.
Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment